Ujian Kehamilan Di Rumah

Ujian Kehamilan Di Rumah

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Bila Perlu Buat Ujian Kehamilan?Bagi yang mengandung untuk kali pertama, perkara ini sudah tentu adalah sesuatu yang baru buat anda. Pasti banyak persoalan yang bermain di fikiran. Bilakah saya patut membuat ujian? Berapa lamakah masa diambil untuk mendapat keputusannya? Adakah ujian kehamilan di rumah tepat? Sama seperti saya semasa mengandung untuk kali pertama dulu. Almaklumlah terlalu excited untuk menimang cahaya mata, haid lewat sehari dua sudah dua tiga ujian kehamilan dibuat. Padahal bukan tidak pernah lewat. :p

Untuk menjawab pertanyaan anda, saya kongsikan sedikit maklumat berkaitan Ujian Kehamilan Di Rumah.

 

Ujian kehamilan di rumah mengesan kehadiran hormon kehamilan iaitu human  chorionic gonadotrophin (hCG) dalam air kencing. Badan akan mula menghasilkan hCG apabila telur yang telah disenyawakan melekat (implantasi) pada  uterus (rahim). HCG dirembeskan oleh sel-sel yang akan membentuk plasenta (uri). Ia boleh dikesan dalam air kencing daripada kira-kira 6 hingga 14  hari selepas persenyawaan berlaku.

Ujian kehamilan pada kebiasaannya hanya memeriksa samada hCG hadir. Ia memberikan jawapan “ya” atau “tidak” kepada soalan, “adakah saya hamil???” Jika mendapat keputusan negatif pada kali pertama membuat ujian, berkemungkinan jumlah hCG belum mencecah tahap  di mana ia boleh dikesan. Kadang-kadang tahapnya belum cukup tinggi untuk  dikesan pada hari pertama haid sepatutnya tiba. Jika haid lewat dan keputusan yang diperolehi negatif, jangan terus kecewa, tunggu beberapa hari kemudian dan uji lagi.

Sesetengah alat penguji kehamilan lebih sensitif  daripada yang lain. Alat penguji yang paling sensitif boleh menunjukkan anda hamil walaupun terdapat sedikit sahaja hCG dalam badan.

Anda  boleh mengetahui berapa sensitif alat penguji kehamilan itu dengan membaca  maklumat yang ada pada kotaknya. Konsentrasi hCG diukur dalam unit mili-Internasional (mIU) per mililiter. Alat penguji dengan  kesensitifan 20 mIU/ml adalah lebih sensitif daripada yang berkesensitifan 50  mIU/ml.

Bilakah saya patut membuat ujian?

Ujian Kehamilan Di RumahKebanyakan alat penguji kehamilan boleh menunjukkan samada anda hamil atau tidak pada hari  pertama haid anda lewat. Alat penguji yang lebih sensitif mungkin boleh mengesan  hCG pada tahap yang rendah beberapa hari sebelum haid anda dijadualkan tiba.  Walau bagaimanapun, membuat  ujian seawal ini mungkin tidak memberikan anda keputusan yang tepat (lihat  di bawah).

Bergantung kepada alat penguji yang anda gunakan, anda boleh membuat ujian pada bila-bila masa sepanjang hari. Cuba jangan minum terlalu banyak sebelum membuat ujian kerana ini boleh mencairkan hCG dalam air kencing  anda.

Sesetengah alat penguji mencadangkan anda membuat ujian pada waktu  pagi, apabila anda pergi ke tandas untuk kali pertama pada hari itu. Ini  terutamanya jika anda menguji pada hari-hari yang awal. Ini kerana, tahap hCG  menjadi lebih pekat dalam air kencing semasa anda tidur pada waktu malam, oleh  itu ia lebih mudah dikesan dalam air kencing pertama anda.

Jika haid tidak teratur, mungkin sukar untuk mengenalpasti bilakah haid anda sepatutnya tiba. Sebagai panduan, anda boleh gunakan kitaran yang paling panjang  dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebelum membuat ujian.

Jika anda  baru berhenti mengambil pil perancang, anda mungkin tidak tahu berapa panjangkah kitaran haid anda secara semula jadinya, dan mungkin membuat ujian samada terlalu awal  atau terlalu lewat. Jika ujian anda negatif, anda patut membuat ujian lagi dalam  masa tiga hari.

Bagaimanakah cara melakukan ujian kehamilan di rumah?

Pastikan anda baca arahan dengan cermat. ^_^ Setiap jenama mempunyai cara penggunaan yang berlainan.

Ujian Kehamilan Di RumahBagi kebanyakan alat penguji, caranya semudah kencing pada  kayu penguji itu. Sesetengah yang lain pula memerlukan anda mengumpul air  kencing dalam cawan kecil dan kemudian mencelupkan alat penguji itu ke dalamnya.  Atau, anda mungkin diberi alat penitik yang digunakan untuk menitikkan sedikit sampel air kencing ke atas alat penguji.

Bagaimana keputusan ujian  ditunjukkan juga berlainan. Sesetengah alat penguji menunjukkan garisan merah  jambu atau biru. Sesetengah yang lain pula menunjukkan tanda campur atau tolak,  atau menukar warna sampel air kencing anda. Ujian digital pula memaparkan  perkataan “pregnant” (hamil) atau “not pregnant” (tidak hamil) pada satu  tingkap, dan ada juga yang memberi anggaran sudah berapa minggu anda hamil.

Adakah ujian kehamilan di rumah tepat?

Tiada masalah menggunakan alat penguji kehamilan di rumah. Hampir 99.9% keputusan yang saya perolehi sepanjang menggunakan alat ujian kehamilan di rumah adalah tepat. Yang penting anda ikut arahan dengan betul.

Adakah keputusan negatif palsu boleh berlaku?

Ada beberapa sebab mengapa ujian kehamilan anda menunjukkan negatif. Anda mungkin tidak hamil, atau mungkin tahap hCG anda belum mencukupi untuk dikesan melalui ujian air kencing.

Jika anda membuat ujian terlalu awal, sebelum hari pertama haid anda lewat, anda mungkin mendapat keputusan negatif palsu kerana hormon yang dikeluarkan oleh badan anda belum mencukupi.

Jika anda mendapat keputusan negatif tetapi masih berpendapat anda hamil, tunggu sekurang-kurangnya tiga hari, dan buatlah ujian semula.

Adakah keputusan positif palsu boleh berlaku?

Positif palsu, iaitu di mana keputusan ujian menunjukkan anda hamil tetapi sebenarnya tidak, adalah jarang tetapi tidak mustahil berlaku. Sesetengah ubat-ubatan seperti pil kesuburan yang mengandungi hCG, mungkin menjejaskan keputusan ujian. (Ubat-ubat biasa yang boleh dibeli di kaunter seperti paracetamol, tidak menjejaskan).

Kadang-kala anda boleh mendapat garisan samar yang boleh jadi sukar untuk ditafsirkan.

Apakah beza ujian kehamilan di rumah dengan yang dijalankan oleh doktor?

Pada mulanya saya berfikiran bahawa ujian kehamilan yang dibuat di klinik lebih tepat. Tetapi rupanya ramai doktor menggunakan alat penguji kehamilan di rumah untuk mengenalpasti kehamilan.

Kadang-kala, wanita diberi ujian darah, yang turut menguji kehadiran hCG. Ujian darah lebih sensitif daripada ujian air kencing. Ia boleh menunjukkan samada anda hamil atau tidak sebaik sahaja telur yang telah disenyawakan melekat. Ini boleh jadi seawal enam hari selepas anda berovulasi.

Anda boleh membuat ujian darah untuk lebih tahu mengenai apa yang sedang berlaku pada awal kehamilan (sebelum imbasan ultrabunyi boleh mengesan kehamilan). Ia boleh membantu mengesan kehamilan ektopik atau kehamilan molar. Ia juga satu cara yang baik untuk mengetahui bahawa tahap hCG meningkat seperti sepatutnya bagi kehamilan yang sihat.

 

Set Berpantang Shaklee

Leave a Reply

CommentLuv badge